RAMALLAH – Dua lelaki Palestin ditembak dan dibunuh oleh tentera Israel di pekan Qabatiya, utara Tebing Barat, pada pagi Rabu, kata Kementerian Kesihatan Palestin.
Kementerian yang berpangkalan di Ramallah itu mengenal pasti mangsa yang terbunuh sebagai Muhammad Omar Muhammad Zakarneh, 23, dan Yasser Rateb Khuzaimiya, 19.
Menurut agensi berita rasmi Palestin WAFA, tentera Israel pada pagi Rabu mengepung sebuah gua di kawasan kuari dan melepaskan tembakan ke arahnya. Jentolak kemudiannya dikerahkan untuk mengorek kawasan itu.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada hari yang sama, Polis Israel berkata serbuan itu menyasarkan sebuah gua di kawasan Jenin di mana seorang militan yang didakwa terlibat dalam serangan Januari yang mengorbankan tiga orang awam Israel sedang bersembunyi. Semasa operasi itu, tentera Israel berbalas tembakan dengan suspek dan dua lagi militan.
Menurut kenyataan itu, dua militan terbunuh dalam berbalas tembakan itu, dan senjata ditemui dari mayat mereka.
XINHUA