8 maut lari dari pemeriksaan polis

KUCHING — Kereta Perodua Alza yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan lapan orang maut di Kilometer 448, Jalan Betong-Sarikei-Meradong di Sarikei, petang semalam dipandu melawan arus selepas pemandunya cuba mengelak pemeriksaan polis.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis, berkata dalam kejadian kira-kira jam 2.50 petang itu, pemandu kereta terbabit cuba melarikan diri selepas anggota peronda polis mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, pemandu kereta yang datang dari arah Kuching menghala ke Sibu itu tidak mengendahkan arahan polis sebaliknya terus memecut melawan arus.

“Ketika cuba melarikan diri dari pemeriksaan, ia memasuki laluan bertentangan dan melawan arus bermula dari Simpang Bulat.

“Apabila sampai di Jambatan Nyelong iaitu di Lebuh Raya Pan Borneo, kereta terbabit bertembung dengan sebuah pikap yang dinaiki seorang lelaki dan seorang wanita,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sarikei hari ini.

Aswandy berkata, akibat pertembungan itu, semua tujuh penumpang dipercayai warga Indonesia dan lelaki tempatan yang memandu kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu pikap pula cedera ringan, manakala penumpangnya cedera parah dan menjalani pembedahan di Hospital Sarikei, hari ini (semalam).

“Semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat dan kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini agar menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Ahmad Mustaqim Idris di talian 010-4427240 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau berkata, semakan mendapati pemandu kereta terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan tiada sebarang barang terlarang dijumpai di dalam kenderaan itu.

Polis juga sudah menghubungi Konsulat Indonesia untuk proses pengecaman identiti tujuh penumpang yang maut yang dipercayai warga negara terbabit.

“Siasatan lanjut turut dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana mereka memasuki negara ini,” katanya.

BH ONLINE