Warga emas rentung, anak, dua cucu melecur

RANAU — Seorang wanita warga emas rentung manakala tiga lagi termasuk dua cucunya melecur dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Muhibbah, di sini, awal pagi tadi.

Wong Ling Ying, 74, ditemui rentung di ruang tamu dipercayai terperangkap selepas terjatuh dari tingkat atas ketika cuba menyelamatkan diri.

Anak mangsa berusia 48 tahun dan dua cucunya sempat menyelamatkan diri dengan melompat daripada tingkap rumah di bahagian atas. Ketika kebakaran mereka dipercayai sedang tidur.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata anak warga emas dan dua cucunya berusia 11 tahun yang melecur dalam kebakaran itu dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 1.20 pagi.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang letaknya kira-kira satu kilometer.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan dua rumah. Rumah pertama terbakar kira-kira 99 peratus manakala rumah kedua terbakar kira-kira 50 peratus.

“Turut terbakar dua kenderaan Toyota Hilux single cab dan Perodua Myvi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ridwan berkata pasukan bomba memadam kebakaran menggunakan satu aliran dengan dua pancutan dari sumber air pili bomba berhampiran.

“Selepas api berjaya dikawal jam 2.28 pagi, terdapat seorang mangsa warga emas rentung dalam kebakaran itu, ditemui di rumah pertama.

“Pasukan bomba kemudian menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 4.14 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.

BH ONLINE