Pemandu maut lori tangki simen langgar 2 kenderaan, rempuh halaman rumah

PARIT — Seorang lelaki maut apabila lori tangki simen dipandunya terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer (KM) 47 Jalan Ipoh-Lumut, dekat Titi Gantung, sebelum merempuh halaman sebuah rumah di tepi laluan itu, lewat malam tadi.

Dalam nahas sekitar jam 11.15 malam itu, mangsa berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah, berkata hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika lori tangki terbabit sedang dalam perjalanan dari arah Seri Iskandar menghala ke Gelung Pepuyu.

Setiba di lokasi kejadian, beliau berkata, lori tangki itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah treler membawa muatan kertas kitar semula dan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang diparkir di tepi jalan.

“Akibat perlanggaran itu, lori tangki simen berkenaan meluncur ke depan kira-kira 100 meter lalu merempuh halaman sebuah rumah di sebelah kiri jalan sehingga menyebabkan kerosakan pada bahagian garaj.

“Pemandu lori itu kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan. Hasil bedah siasat di Hospital Changkat Melintang mendapati punca kematian mangsa ialah kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika cuaca baik tetapi keadaan jalan basah serta tiada lampu jalan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor M Maheswaran, melalui talian 010-7005051 atau ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

BH ONLINE