GAZA STRIP — Pertahanan awam Gaza pada Ahad berkata serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya 20 orang, termasuk empat wanita dan tiga kanak-kanak, di wilayah Palestin dilanda perang.
Serangan paling maut membunuh 10 orang di kem pelarian Bureij di tengah Gaza, kata jurucakap pertahanan awam Mahmud Bassal.
Sekurang-kurangnya seorang wanita terbunuh dan 10 lagi cedera dalam satu lagi serangan ke atas sebuah rumah di kem yang sama, tambahnya.
Lima orang lagi terbunuh dan 11 lagi cedera terkena “peluru berpandu yang dilancarkan dron Israel” pagi Ahad di bandar selatan Rafah, kata Bassal.
Empat lagi – tiga wanita dan seorang kanak-kanak – terbunuh dalam serangan semalaman di sebuah rumah di barat kem Nuseirat di tengah Gaza, tambahnya.
Kementerian kesihatan Gaza pada Sabtu berkata jumlah kematian keseluruhan dalam lebih 13 bulan perang telah mencecah 43,799.
Majoriti yang maut adalah orang awam, menurut angka kementerian, yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
AN-AFP