Sekurang-kurangnya 8 maut akibat Man-yi di Filipina

MANILA — Sekurang-kurangnya lapan orang maut ketika taufan besar Man-yi melanda Filipina pada hujung minggu, mencetuskan banjir dan tanah runtuh di laluannya, kata pegawai wilayah pada Isnin.

Pejabat Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Wilayah Nueva Vizcaya (PDRRMO) mengesahkan kepada Xinhua dalam temu bual telefon, sekurang-kurangnya tujuh maut di bandar Ambaguio selepas rumah mereka tertimbus dalam tanah runtuh.

“Kami masih untuk mendapatkan butiran mengenai bencana itu,” kata seorang pegawai PDRRMO yang enggan namanya disiarkan kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap secara terbuka kepada pemberita.

Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos memberitahu pemberita bahawa seorang lelaki turut meninggal dunia di wilayah Camarines Norte, tenggara Manila.

Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan, penyelaras bencana tertinggi negara, masih belum melaporkan kematian dan kerosakan akibat Man-yi.

Man-yi ialah taufan kuat keenam yang membadai Filipina dalam tempoh kurang sebulan. Ia merupakan taufan tropika ke-16 yang melanda Filipina tahun ini.

Siklon berturut-turut menyebabkan hujan lebat, banjir dan tanah runtuh, mendatangkan malapetaka di seluruh Luzon dan bahagian lain di kepulauan itu.

Man-yi dijangka keluar dari Filipina pada petang Isnin.

XINHUA