Nur Arina dipercayai sudah hanyut ke Sungai Rui — bomba

GERIK — Wanita yang dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang di Sungai Air Beruk, Jalan Padang Stang, Kampung Kerunai di sini, semalam, dipercayai sudah dihanyutkan arus melepasi bahagian muara sehingga memasuki Sungai Rui.

Insiden kira-kira jam 2.30 petang semalam itu berlaku ketika mangsa, Nur Arina Azizan, 20, bersama empat ahli keluarga bermandi-manda dan melakukan aktiviti dalam air menggunakan pelampung.

Ibu mangsa, Saripah Ahmad, 48, yang cuba membantu anaknya itu turut dihanyutkan arus, namun berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata Nur Arina dipercayai telah hanyut ke Sungai Rui berikutan keadaan arus deras di Sungai Air Beruk, selain jarak dari tempat kejadian ke kawasan muara yang bertemu dengan Sungai Rui hanya sekitar dua kilometer (km).

Berbanding operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Air Beruk yang berdepan arus deras, katanya, cabaran di Sungai Rui pula ialah keadaan airnya yang terlalu keruh sehingga mengehadkan visual.

Beliau berkata, operasi SAR di Sungai Rui hari ini membabitkan jarak 14km di mana banyak sisa kayu atau pokok tumbang didapati berada di persisiran sungai itu menyebabkan pihaknya melihat terdapat kemungkinan mangsa tersangkut di bahagian berkenaan.

“Berdasarkan keadaan arus air, semalam dan hari ini, kita percaya mangsa sudah memasuki Sungai Rui yang mana dari situ ada jarak sekitar 16km sebelum bertemu pula dengan Sungai Perak.

“Mengenai risiko atau kesukaran dalam SAR kali ini, arus air Sungai Air Beruk adalah deras tetapi jernih, manakala di Sungai Rui pula airnya keruh sehingga menjejaskan aspek visual,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Kawalan Bomba (PKB) lokasi kejadian itu yang terletak berhampiran Loji Pembersihan Intake Air Lembaga Air Perak (LAP), Kampung Padang Stang, di sini, hari ini.

Sabarodzi berkata, operasi SAR hari kedua telah ditangguhkan pada jam 6.30 petang tadi dan akan disambung semula jam 8 pagi esok yang berkemungkinan membabitkan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM susulan keadaan air keruh mengehadkan penglihatan.

Beliau berkata, risiko lain dihadapi pasukan SAR terbabit ialah kewujudan kawasan air berpusar yang menghalang akses anggota untuk mencari mangsa yang berkemungkinan terperangkap di situ.

“Justeru, kita mungkin terpaksa tengok kaedah lain untuk mengeluarkan mangsa sekiranya berada di situ (pusaran). Itu juga antara ‘hotspot’ yang kita cuba akses,” katanya.

Sabarodzi berkata, JBPM Perak akan meningkatkan logistik dan keanggotaan bagi operasi SAR, esok.

“Esok, kita akan fokus di Sungai Rui dengan menambah logistik empat lagi bot menjadikan secara keseluruhannya enam bot JBPM dalam SAR ini. Pasukan JBPM juga akan ditambah kepada 25 orang, dengan dibantu 30 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS),” katanya.

BH ONLINE