Sekurang-kurangnya 20 orang awam terbunuh dalam serangan separa tentera di Sudan: Gabenor Darfur

KHARTOUM — Gabenor wilayah Darfur, Sudan pada Rabu mengumumkan 20 orang awam terbunuh dalam serangan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera di kawasan di Darfur Utara di barat Sudan.

“RSF telah melakukan pembunuhan beramai-ramai di kawasan Abu Zeriga, selatan bandar El Fasher, membunuh 20 orang awam dan mencederakan 20 yang lain,” kata Gabenor Minni Arko Minnawi dalam catatan di laman Facebooknya.

Minnawi berkata serangan itu berlaku pada Selasa.

Beliau menyeru masyarakat antarabangsa dan organisasi kemanusiaan menghantar pasukan penyiasat antarabangsa untuk mendokumentasi jenayah dan berusaha membawa pelaku ke muka pengadilan.

Beliau seterusnya menggesa pertubuhan bantuan untuk memperhebatkan usaha menyediakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk terjejas di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di rantau itu.

Dalam pada itu, Rangkaian Doktor Sudan bukan kerajaan berkata, serangan itu menyebabkan 21 orang awam terbunuh dan 13 yang lain cedera.

RSF tidak mengeluarkan sebarang komen mengenai serangan di kawasan Abu Zeriga.

Sejak 10 Mei, pertempuran sengit berlaku di El Fasher antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan RSF, yang terlibat dalam konflik kejam sejak pertengahan April 2023.

Peperangan berterusan di Sudan telah meragut lebih 27,120 nyawa dan lebih 14 juta yang lain kehilangan tempat tinggal, sama ada di dalam atau luar negara, menurut anggaran daripada pertubuhan antarabangsa.

XINHUA