Pelajar ASWARA maut nahas plaza tol tak sempat berkongsi ‘berita’ dengan ibu

KEPALA BATAS — “Umi tunggu Adam balik, Adam ada ‘something’ (sesuatu) nak bagitahu umi. Nanti dah dah sampai Adam beritahu,” itu mesej terakhir Muhammad Adam Mifdal Mohd Affendy, 18, yang dilaporkan maut dalam nahas membabitkan tiga mangsa di di Plaza Tol Sungai Dua, pagi tadi.

Ibu kepada Muhammad Adam, Siti Zaharan Shaari, 44 berkata, anaknya adalah pelajar Akedemi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam jurusan muzik dalam perjalanan pulang untuk mengadakan persembahan di Kedah International Bike Week, di Alor Setar yang dijadual bermula hari ini.

“Masa dia hantar mesej itu melalui aplikasi WhatsApp sudah lewat malam. Dia memang bersemangat balik dan buat persembahan itu.

“Masih terngiang-ngiang perbualan dengannya malam semalam memaklumkan mereka akan bertolak dari Kuala Lumpur pagi ini.

“Saya bila tahu berita ini (anak meninggal dunia) dalam jam 11 pagi, terkejut sampai tak boleh buat apa-apa,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kepala Batas di sini hari ini.

Siti Zaharan berkata, dia berasa ralat kerana tidak mengetahui apakah perkara yang ingin disampaikan anak sulung daripada empat beradik itu kepadanya namun reda dengan suratan takdir Ilahi.

Pejawat awam itu turut menyifatkan Allahyarham Muhammad Adam sebagai seorang yang ceria, mudah didekati dan disenangi rakan selain gemar bercerita perkembangan diri dan aktiviti harian dengan dirinya.

“Memang sebelum ini dia ada bagi tahu nak bawa rakannya dari Kuala Lumpur untuk berjalan di Alor Setar. Semua kawan-kawan mudah dekat dan senang dengan dia,” katanya.

Menurutnya, jenazah anaknya akan dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Taman Bersatu, Kuala Kedah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Bersatu.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar kolej maut manakala dua lagi rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka melanggar pembahagi jalan di Plaza Tol Sungai Dua, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini pada jam 9.40 pagi.

BH ONLINE