NEW DELHI — Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan lebih dua dozen cedera pada Jumaat dalam tiga kemalangan jalan raya berasingan di negeri Uttar Pradesh di utara India, kata polis.
Di daerah Pilibhit, enam maut dan lima cedera selepas sebuah kereta yang membawa mereka merempuh pokok dan jatuh ke dalam parit sekitar tengah malam, kata seorang pegawai polis, sambil menambah bahawa di Chitrakoot, enam lagi terbunuh dan lima cedera apabila sebuah kenderaan bertembung dengan dengan sebuah lori.
Pegawai polis itu menambah bahawa lapan penumpang yang menaiki bas persendirian terbunuh dan 19 yang lain cedera apabila bas itu melanggar lori tangki air di daerah Kannauj.
Ketua Menteri Uttar Pradesh Yogi Adityanath mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap agar mereka yang cedera dalam kemalangan segera pulih.
Kemalangan jalan raya yang membawa maut adalah perkara biasa di India yang sering disebabkan oleh beban berlebihan, keadaan jalan raya teruk dan pemanduan melulu.
Kira-kira 150,000 orang terbunuh setiap tahun dalam kira-kira setengah juta kemalangan jalan raya di seluruh India, kata pegawai.
XINHUA