ADEN, Yaman – Tentera AS melakukan serangan udara baharu ke atas kawasan Yaman di utara Sanaa awal Ahad, berikutan dakwaan kumpulan Houthi menyasarkan kapal pengangkut pesawat AS dan kapal perang di Laut Merah, kata media Houthi.
TV Al-Masirah kendalian Houthi melaporkan empat serangan udara AS melanda kawasan Al-Azraqeen, utara ibu negara, Sanaa. Penduduk tempatan mengesahkan kepada Xinhua, letupan kedengaran di seluruh bandar berikutan pengeboman itu.
Serangan itu berlaku beberapa jam selepas jurucakap tentera Houthi Yahya Sarea mengumumkan “operasi ketenteraan bersama Yaman” yang menyasarkan kapal pengangkut pesawat AS USS Harry Truman dan kapal yang mengiringi di utara Laut Merah, menggunakan “dron dan peluru berpandu jelajah”.
Sarea berkata operasi itu “mencapai matlamatnya dengan jayanya” dan menandakan serangan kelapan seumpama itu ke atas kapal induk itu sejak ditempatkan di rantau Laut Merah.
Perintah Pusat AS sebelum ini mengumumkan ketibaan kumpulan pengangkut itu di Laut Merah pada 14 Dis.
Dalam amaran kepada pasukan asing, Sarea berkata pasukan Houthi akan “menghadapi sebarang pencerobohan dengan operasi ketenteraan kualitatif” tanpa had semasa tempoh gencatan senjata Gaza.
Peningkatan terbaharu itu susulan pengumuman kumpulan Houthi petang Sabtu melancarkan dua peluru berpandu ke sasaran Israel di kawasan Eilat.
XINHUA