PUTRAJAYA — Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin mahu pendakwaan membabitkan kegagalan mengisytiharkan harta dihadapi arwah suaminya itu diteruskan supaya keadilan terhadap pemimpin itu terbela.
Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid berkata, menjadi hasrat arwah suaminya supaya perbicaraan itu diteruskan di mahkamah sehingga tamat walau apapun terjadi.
“Daim sentiasa ternanti-nanti harinya di mahkamah dan penuh yakin akhirnya beliau akan dibuktikan tidak bersalah.
“Tidak ada keperluan untuk Peguam Negara mahupun Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyemak semula, memberhentikan atau menarik balik pendakwaan terhadap Daim,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nai’mah berkata, pihaknya tidak akan memohon dan tidak membenarkan mereka yang berkaitan cuba berselindung di sebalik kematian arwah suaminya bagi mengelak mengambil tanggungjawab di atas fitnah yang berulang kali dilontarkan terhadap Allahyarham secara terbuka.
“Saya mengarahkan peguam saya menulis kepada Peguam Negara bagi memaklumkan keputusan kami dalam hal ini.
“Seterusnya, peguam saya akan memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengenai keputusan kami bahawa perbicaraan perlu diteruskan apabila kes ini bersambung esok.
“Sejak awal siasatan SPRM kira-kira lebih setahun lalu, kami secara konsisten mengatakan pertuduhan ini remeh, berniat jahat dan bermotifkan politik terhadap Allahyarham,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menyatakan mereka akan menyemak semula pendakwaan terhadap Daim,86, yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kegagalan mengisytiharkan harta, selepas kematian pemimpin terbabit pada 13 November lalu di sebuah hospital swasta, ketika menerima rawatan selama dua minggu.
Pada 29 Januari lalu, Daim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Na’imah pula didakwa pada 23 Januari lalu atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
BH ONLINE