LOS ANGELES — Dua pelajar cedera dan suspek lelaki bersenjata maut selepas tembakan di sebuah sekolah di California Utara pada Rabu, kata pihak berkuasa.
Deputi (penolong syerif) berada di tempat kejadian insiden aktif membabitkan tembakan di Feather River School of Seventh-Day Adventists di Palermo, kata Pejabat Syerif Butte County dalam satu kenyataan.
Pelajar dibawa ke gereja berhampiran dan ibu bapa diminta memberi respons kepada gereja untuk disatukan semula dengan anak-anak mereka, menurut Pejabat Syerif.
Pejabat itu menerima beberapa panggilan 911 sekitar jam 1 tengah hari waktu tempatan (2100 GMT) berhubung seorang lelaki dewasa melepaskan tembakan ke arah pelajar, lapor KRCR-TV, sebuah stesen TV tempatan, memetik Pejabat Syerif.
Pelbagai agensi segera bertindak balas terhadap kejadian itu dan mengesan penembak itu, yang meninggal dunia akibat luka tembakan yang jelas dilakukan sendiri, kata laporan itu.
Dua pelajar mengalami luka tembak, seorang daripadanya telah dihantar ke hospital berdekatan, tambahnya.
Sekolah itu, yang dikendalikan oleh Seventh-day Adventist Church, adalah sekolah K-8 dengan lebih 30 pelajar, menurut laman webnya.
Palermo, rumah kepada lebih 5,000 penduduk, terletak kira-kira 104 km ke utara Sacramento, ibu negeri California AS.
XINHUA