Dua sungai di Kelantan catat bacaan lebihi paras waspada

KOTA BHARU — Dua sungai di Kelantan iaitu Sungai Semerak, Pasir Puteh dan Sungai Pergau, Kampung Lawar, Jeli mencatat bacaan melebihi paras waspada.

Menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, paras air di Sungai Semerak menunjukkan bacaan melebihi tahap waspada iaitu 2.08 meter (m) manakala Sungai pergau pula 101.01 m setakat jam 7.45 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal @ Jainal Madasin, berkata peningkatan pasar air itu berlaku susulan taburan hujan yang tinggi di daerah berkenaan.

Katanya, keadaan setakat ini masih terkawal dan pihaknya belum menerima sebarang laporan banjir.

“Pegawai dan anggota yang bertugas di kawasan terbabit banjir sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga terutama apabila cuaca semasa sekarang ini yang mulai mendung serta hujan lebih kerap.

“Tumpuan juga diberikan dibeberapa kawasan `hotspot’ banjir terutama di daerah Pasir Mas, Kuala Krai dan Tanah Merah yang biasanya dilanda banjir dengan cepat.

“Selain persediaan anggota, JBPM Kelantan turut bersedia dengan logistik seperti lori dan bot dengan menempatkannya di lokasi-lokasi terdedah banjir bagi memudahkan proses membantu dan menyelamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zainal meminta orang ramai terutama yang tinggal di kawasan rendah untuk sentiasa peka dengan paras air sungai dan segera mengambil langkah berpindah jika perlu.

Katanya, selain membuat rondaan berkala pihaknya juga merujuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk informasi paras air sungai serta Jabatan Meteorologi bagi perkembangan cuaca semasa.

BH ONLINE