RABAT – Empat pemandu trak Maghribi hilang pada Sabtu ketika mereka melintasi kawasan sempadan bergolak antara Burkina Faso dan Niger, sumber dari kedutaan Maghribi di Burkina Faso dan sebuah kesatuan pengangkutan Maghribi berkata.
Tiga trak, satu membawa pemandu ganti, hilang ketika mereka memandu tanpa pengiring dari Dori di Burkina Faso ke Tera di Niger, kawasan yang terkenal dengan ancaman pejuang jihad, kata sumber diplomatik itu.
Burkina Faso dan Niger pimpinan Junta sedang memerangi kumpulan militan Islamis yang dikaitkan dengan Al Qaeda dan Islamic State, yang pemberontakannya telah menjejaskan kestabilan negeri Sahel di Afrika Barat sejak sedekad lalu.
Sumber diplomatik Maghribi berkata pihak kedutaan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Burkina Faso untuk mencari pemandu terbabit.
Pihak berkuasa di Burkina Faso telah menganjurkan konvoi keselamatan untuk mengiringi trak di kawasan sempadan bagi melindungi daripada serangan militan, kata sumber itu.
Trak itu berlepas selepas menunggu seminggu tanpa mendapat pengiring, El Charki El Hamchi, Setiausaha Agung kesatuan pengangkut Maghribi, memberitahu Reuters.
Trak itu, sarat dengan peralatan infrastruktur, berlepas minggu lalu dari Casablanca menuju ke Niger, katanya.
El Hamchi menggesa lebih banyak perlindungan di kawasan berisiko tinggi kerana bilangan trak Maghribi yang melintasi Sahel terus meningkat.
Awal bulan ini, konvoi trak Maghribi diserang di sempadan Mali dengan Mauritania, walaupun tiada kemalangan jiwa, kata El Hamchi.
REUTERS