ANKARA – Dua helikopter tentera Turki berlanggar di udara pada Isnin, menyebabkan salah satu daripadanya terhempas dan membunuh enam anggota tentera di dalamnya, kata pegawai.
Helikopter kedua mendarat dengan selamat.
Lima daripada mangsa maut di lokasi kemalangan manakala yang keenam meninggal dunia akibat kecederaannya di hospital, kata kementerian pertahanan.
Nahas itu berlaku di wilayah barat daya Isparta semasa penerbangan latihan biasa, menurut gabenor wilayah itu, Abdullah Erin.
Seorang brigedier jeneral yang bertanggungjawab ke atas sekolah penerbangan tentera adalah antara mangsa, katanya.
Tidak jelas apa yang menyebabkan kedua-dua helikopter itu bersentuhan. Erin berkata siasatan telah dilancarkan.
Agensi berita DHA berkata helikopter utiliti UH-1 itu terhempas ke dalam padang dan terbelah dua. Helikopter kedua mendarat kira-kira 400 meter jauhnya.
AN-AP