Hungary usir dua diplomat Ukraine

BUDAPEST, 9 Mei – Hungary mengusir dua diplomat Ukraine dituduh melakukan pengintipan di bawah litup diplomatik, Menteri Luar Hungary Peter Szijjarto mengumumkan pada Jumaat.

Szijjarto mengesahkan dua diplomat diusir itu ditempatkan di Kedutaan Ukraine di Budapest.

Pengusiran itu susulan tindakan baru-baru ini oleh Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) untuk menahan dua individu didakwa ada kaitan dengan rangkaian perisikan Hungary yang beroperasi di barat Ukraine.

Menurut laporan media Ukraine, rangkaian itu dilaporkan mengumpul data ketenteraan sensitif di wilayah Zakarpattia, yang merupakan rumah kepada penduduk etnik Hungary. Pihak berkuasa menyifatkan kejadian itu sebagai yang pertama seumpamanya dalam sejarah Ukraine.

“Ejen mengumpul data mengenai pertahanan tentera Zakarpattia, mencari kelemahan, dan menganalisis bagaimana penduduk tempatan mungkin bertindak balas jika tentera Hungary memasuki wilayah itu,” lapor Kyiv Post.

Szijjarto menyifatkan pengusiran itu sebagai tindak balas terhadap apa yang disebutnya sebagai “kempen fitnah berterusan” terhadap Hungary oleh pihak berkuasa Ukraine. Dia menekankan bahawa Hungary terus menyokong keamanan dan secara konsisten enggan menghantar bantuan ketenteraan ke Ukraine atau terlibat dalam konflik dengan Rusia.

XINHUA