Jahidah kini terlantar seperti mayat hidup’

JOHOR BAHRU — Jahidah Nordin@Sylvester, 46, wanita yang sebelum ini koma akibat dipukul bekas suaminya di Larkin, kira-kira tiga tahun lalu, kini terlantar seperti mayat hidup.

Keadaan terkini wanita itu dikongsikan adiknya, Fauziah, 43, ketika memberikan kenyataan impak mangsa pada prosiding keputusan di akhir pembelaan kes Rosmaini Abd Raof yang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Jahidah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Fauziah tidak dapat menahan sebak dan menangis ketika memberi keterangan berkenaan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Katanya, beliau menguruskan keperluan harian kakaknya itu termasuk memandikannya selain pelbagai urusan peribadi termasuk membabitkan dokumen pengenalan diri dan urusan kewangan.

Disamping itu, beliau turut menguruskan anak tunggal kakaknya, Eshan Nufail, 3, yang kini berstatus orang kurang upaya (OKU), susulan perkembangannya yang perlahan dan perlu dipantau pakar.

“Sejak hari pertama kakak terlantar di hospital, saya yang menjaganya sehingga hari ini. Dia tidak boleh bercakap, tidak boleh bergerak dan tidak memberi sebarang respon. Begitulah keadaan dia sejak tiga tahun lalu.

“Semuanya saya uruskan dari kakak mula koma dan kini terlantar,dari failkan permohonan fasakh, sepanjang mengandung sehingga melahirkan anak yang disahkan status OKU.

“Perkembangan anak Jahidah lambat walaupun dia sudah berusia tiga tahun. Sekarang baru boleh berjalan tetapi masih tidak boleh bercakap.

“Saya dan keluarga tak dapat maafkan perbuatan tertuduh terhadap kakak saya,” katanya sambil menangis teresak-esak.

Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang peniaga yang bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah yang juga bekas isteri ketiganya, sehingga koma, tiga tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Rosmaini Abd Raof, 41, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Jahidah yang sedang hamil dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Hakim Fatimah membuat keputusan penjara 10 tahun itu pada akhir pembelaan kes berkenaan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah sepanjang perbicaraan berlangsung selama tiga tahun dengan 11 saksi pendakwaan dipanggil.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin kira-kira jam 6 pagi, 4 Mei 2021.

Fauziah berkata Jahidah yang juga kakak sulung daripada tujuh beradik terpaksa bergantung kepada susu khas sebagai satu-satunya makanan, yang perlu diberikan setiap empat jam sekali selain diganti lampin pakai buang.

“Paling menyedihkan apabila Jahidah tidak dapat memberikan kasih sayang terhadap anak tunggalnya kerana keadaan dirinya yang terlantar,” katanya.

Ketika ditemui selepas prosiding selesai, Fauziah berkata beliau mewakili keluarganya bersyukur dengan keputusan penjara 10 tahun yang dijatuhkan ke atas tertuduh.

Katanya, Jahidah kini sudah mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Menurutnya, beliau sekeluarga mahu membina hidup baharu bersama Jahidah selepas ini dan akan terus memandang ke hadapan.

“Alhamdulilah kes sudah selesai hari ini dan kami sebak sebenarnya sebab tunggu lama nak tahu keputusan. Penat lelah kami datang dari Sabah dan Seremban ke sini akhirnya terbalas.

“Perancangan selepas ini, kami sekeluarga akan jaga Kak Jahidah. Kami selalu berdoa supaya kakak sembuh akhirnya dan dapat besarkan anaknya dengan penuh kasih sayang,” katanya.

BH ONLINE