Jet pejuang Israel serang tapak tentera di Damsyik, Sweida

DAMSYIK – Jet pejuang Israel melancarkan serangan udara baru lewat Jumaat, menyasarkan sekurang-kurangnya enam kedudukan tentera di kawasan luar bandar Damsyik dan wilayah Sweida di selatan Syria, menurut pemantau perang.

Letupan kuat menggegarkan selatan Sweida ketika jet Israel berlegar di atas kepala. Serangan melanda kawasan sekitar Tel al-Qalib dan berhampiran perkampungan Al-Kafr, di mana berek tentera Syria diletakkan di jalan Sweida, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Kolum asap kelihatan naik dari berek berikutan pengeboman, tambah kumpulan pemerhati yang berpangkalan di Britain itu.

Sementara itu, di luar bandar Damsyik, peluru berpandu Israel dilaporkan melanda lokasi dikaitkan dengan operasi peperangan elektronik Syria, termasuk Cawangan 295 dan Rejimen Pertama di bawah Direktorat Peperangan Elektronik, serta depoh bahan api berhampiran bandar Najha, kata pemerhati itu.

Selain itu, penduduk di wilayah selatan Daraa melaporkan pesawat perang Israel terbang di atas Lembangan Yarmouk di kawasan luar bandar barat, menuju ke timur.

Serangan ini menandakan yang terbaru dalam siri serangan udara Israel menyasarkan tapak tentera milik tentera Syria yang dibubarkan berikutan pergolakan politik di Syria, di mana kumpulan militan menggulingkan kerajaan bekas Presiden Syria Bashar al-Assad pada 8 Dis.

XINHUA