JAKARTA — Bencana hidrometeorologi yang melanda Sukabumi di wilayah Jawa Barat Indonesia sejak Selasa lalu meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa, dengan dua lagi masih hilang, kata agensi mitigasi bencana tempatan pada Isnin.
Menurut Deden Sumpena, Pemangku Ketua Badan Mitigasi Bencana Sukabumi, banjir, angin kencang dan tanah runtuh telah berlaku di kira-kira 40 mukim sehingga memaksa sekitar 900 keluarga mencari perlindungan sementara.
Pasukan penyelamat bersama, termasuk anggota tentera dan polis, meneruskan usaha pemindahan dan mencari mangsa dalam keadaan cuaca tidak menentu.
Terdahulu, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia memberi amaran potensi bencana hidrometeorologi selepas mengesan dua siklon tropika yang sedang berkembang dekat perairan wilayah Indonesia setakat Isnin.
Agensi Pengurusan Bencana Negara menggesa kerajaan tempatan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana dengan memastikan kesediaan peralatan, kakitangan dan sumber, terutama di kawasan berisiko tinggi seperti bukit dan tebing.
XINHUA