Lebih 300,000 pekebun kecil getah dijangka terima BMT tahun ini

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melakukan bancian sebagai satu daripada proses pemutihan dalam senarai pekebun kecil.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata bancian pada 2023 itu bertujuan memastikan kebajikan golongan berkenaan sentiasa terbela, selain tiada yang tercicir daripada menerima sebarang manfaat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan 331,142 pekebun kecil getah berdaftar dengan RISDA dijangka menerima manfaat Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kendalian kementerian itu, tahun ini.

“Pengemaskinian data BMT dibuat antara Jun hingga September setiap tahun, bertujuan memastikan senarai yang ada, adalah ‘up to date’ (dikemas kini).

“Sasaran penerima BMT mengikut negeri tahun ini, ialah 51,433 peserta di Sarawak, diikuti Kelantan (42,978); Kedah (39,604); Pahang (24,237); Perak (19,485); Negeri Sembilan (18,021); Johor (11,913); Terengganu (11,669); Sabah (6,309) dan Melaka (4,659).

“Di Selangor pula seramai 1,616 peserta, manakala Pulau Pinang (563), Perlis (552), Lembaga Industri Getah Sabah (86,323) dan FELDA (11,784).

“Bagi daerah Temerloh, Pahang sebanyak RM3.19 juta diperuntukkan untuk 3,994 pekebun kecil yang layak memohon BMT,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Kurau) mengenai proses pemutihan pekebun kecil dijalankan melalui RISDA dalam memastikan tiada golongan sasar tercicir daripada BMT.

Sementara itu, Rubiah berkata, kementerian melalui RISDA mengambil langkah untuk memastikan getah kekal sebagai tanaman komoditi di negara ini, biarpun kadar pekebun getah semakin berkurang.

“Kita bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi memastikan pengeluaran getah meningkat dari semasa ke semasa.

“Ia termasuk memberi galakkan kepada pekebun kecil, terutama dalam memastikan getah bukan sahaja dijual dalam bentuk skrap, kini kami sudah memperbanyakkan penjualan lateks. Dari sudut penggunaan negara adalah tinggi dan harga juga tinggi.

“Usaha sudah dilaksanakan adalah untuk meningkatkan jualan lateks, terutama memperkenalkan depoh di kebun bagi memastikan jualan ini dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

BH ONLINE