Maghribi gagalkan plot pengganas, tahan 12 suspek

RABAT – Maghribi menggagalkan “plot pengganas yang sangat berbahaya” dan menahan 12 suspek, kata Biro Pusat Siasatan Kehakiman pada Rabu.

Dalam kenyataan akhbar, biro itu berkata perkhidmatan memerangi keganasan negara itu melancarkan operasi serentak pada Rabu di bandar-bandar termasuk Casablanca, Fez, dan Tangier. Operasi itu membawa kepada penahanan 12 suspek, berumur 18 hingga 40 tahun, dan rampasan senjata serta bahan letupan buatan sendiri.

Kenyataan itu mendedahkan bahawa militan Islamic State (IS) yang aktif di wilayah Sahel memberikan sokongan kewangan dan logistik kepada suspek.

Sahel, jalur sempit di selatan Gurun Sahara di Afrika, telah menghadapi cabaran berterusan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk kemiskinan, konflik bersenjata dan bencana alam, menyumbang kepada ancaman pengganas yang semakin meningkat.

Maghribi telah memperhebatkan tindakan keras terhadap plot pelampau, dengan perkhidmatan memerangi keganasannya membongkar sel pengganas empat anggota di Casablanca bulan lalu.

XINHUA