Militan ‘tidak terima sebarang sokongan antarabangsa untuk hadapi kerajaan Assad,’ kata Al-Sharaa dari HTS

DAMSYIK – Pemimpin Hayat Tahrir Al-Sham (HTS) mengesahkan pada Rabu, militan tidak menerima sebarang sokongan antarabangsa untuk berdepan dengan bekas kerajaan Presiden Bashar Assad.

Pemimpin HTS, Abu Mohammed Al-Golani, yang kini menggunakan nama sebenarnya Ahmed Al-Sharaa, berkata senjata yang mereka gunakan untuk memerangi kerajaan Assad dibuat secara tempatan, menurut saluran berita Al Arabiya.

Dia menambah: “Rakyat Syria sudah letih akibat konflik bertahun-tahun, dan negara tidak akan menyaksikan perang lagi.”

Mereka yang bertanggungjawab membunuh rakyat Syria, serta pegawai keselamatan dan tentera dalam bekas pentadbiran yang terlibat dalam penyeksaan akan dipertanggungjawab oleh Jabatan Operasi Tentera, kata Al-Sharaa.

Dia berkata dalam satu kenyataan: “Kami akan mengejar penjenayah perang dan menuntut mereka dari negara tempat mereka melarikan diri supaya mereka boleh menerima hukuman setimpal.”

Pemimpin itu mengesahkan “senarai yang mengandungi nama orang paling kanan yang terlibat akan diumumkan.”

Dia menambah bahawa “ganjaran juga akan ditawarkan kepada sesiapa memberikan maklumat tentang tentera kanan dan pegawai keselamatan yang terlibat dalam jenayah perang.”

Al-Sharaa berkata kepimpinan tentera “komited untuk bertoleransi bagi mereka yang tangannya tidak berlumuran darah rakyat Syria,” sambil menambah bahawa ia memberikan pengampunan kepada mereka yang berada dalam perkhidmatan wajib.

AN