Pasukan keselamatan Palestin bertukar tembakan dengan militan di Tebing Barat

JENIN — Tembakan meletus di Jenin di utara Tebing Barat diduduki pada Khamis antara militan dan pasukan keselamatan Palestin berikutan kecurian kenderaan milik Pihak Berkuasa Palestin (PA), menurut wartawan AFP di bandar itu.

Pertempuran sengit bermula sekitar 9:30 malam (1930 GMT) dan dikuti penempatan anggota pasukan keselamatan di sekitar kem pelarian Jenin, yang bersebelahan dengan bandar dan kubu kuat kumpulan bersenjata di wilayah itu, menurut wartawan.

Saksi melaporkan pasukan keselamatan Palestin membuat sekatan jalan raya di laluan keluar dari kem.

Ketegangan semakin memuncak di Jenin pada awal hari selepas sekumpulan lelaki bersenjata merampas dua kenderaan milik PA dan berarak melalui jalan mengibarkan bendera Jihad Islam.

Dalam satu kenyataan, Jeneral Anwar Rajab, jurucakap pasukan keselamatan, berkata “sekumpulan penjenayah melepaskan tembakan ke arah ibu pejabat perkhidmatan keselamatan” dan mencuri dua kenderaan.

Beliau berkata pasukan keselamatan akan “mengembalikan kenderaan dan mempertanggungjawabkan sesiapa yang melakukan perbuatan ini.”

Ketegangan antara PA dan kumpulan bersenjata nampaknya telah diburukkan lagi dengan penahanan baru-baru ini oleh pasukan keselamatan.

Pada sidang akhbar di kem Jenin, Mahmud Abu Talal, jurucakap kolektif kumpulan bersenjata tempatan, berkata PA telah “meninggalkan rakyatnya dalam keadaan yang paling sukar.”

Dia menolak label penjenayah dan menuduh PA “menjalankan operasi berterusan untuk melemahkan mereka yang melindungi rakyat mereka.”

Jenin telah lama menjadi kubu kumpulan bersenjata Palestin dan menjadi tumpuan serbuan besar Israel yang dilancarkan pada penghujung Ogos.

Keganasan di Tebing Barat, yang sudah meningkat, melonjak selepas permulaan perang di Gaza pada Oktober 2023.

Israel telah menduduki wilayah itu sejak 1967.

AN-AFP