RANTAU PANJANG — Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam perigi di Kampung Tasek Bakong, di sini, dipercayai ketika mahu mengambil wuduk untuk menunaikan solat Subuh, pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi menimpa Bahrom Ismail, 64, disedari anaknya yang kemudian cuba membantu dengan menghulurkan tali, tetapi gagal apabila mangsa terus tenggelam.
Jiran, Mohd Shamsudin Pa’Sar, 50, berkata anak arwah memberitahu bapa mereka keluar untuk menoreh dan biasanya akan mengambil wuduk di telaga berkenaan untuk menunaikan solat Subuh.
Katanya, dia hanya sempat membantu dengan menghubungi talian Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 selepas diberitahu anak mangsa mengenai kejadian itu.
“Saya dalam perjalanan ke kedai untuk menjual ayam segar sebelum berhenti di hadapan rumah Bahrom kerana melihat anak-anaknya dalam keresahan.
“Salah seorang anak Bahrom memberitahu dengar suara bapanya minta tolong dan sempat menghulurkan tali, namun mangsa sudah lemah dan akhirnya tenggelam.
“Kami tidak tahu bagaimana mahu mengeluarkannya dari dalam perigi sedalam lebih lima meter itu dan meminta bantuan kecemasan. Pasukan bomba kemudian datang memberikan bantuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 6.52 pagi dan terus bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik sampai di lokasi, terdapat seorang mangsa di dalam perigi sebelum anggota seramai enam orang membantu mengeluarkannya. Dia disahkan meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
BH ONLINE