
MOSCOW – Pasukan Rusia menawan semula Sudzha, sebuah pekan penting di wilayah Kursk yang sebelum ini dikuasai oleh Ukraine, kata Kementerian Pertahanan Rusia pada Khamis.
“Unit kumpulan pasukan Utara membebaskan penempatan Melovoi, Podol dan Sudzha semasa operasi serangan mereka,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Sudzha, yang berada di bawah kawalan Ukraine sejak serangan mengejut rentas sempadan pada Ogos 2024, merupakan lokasi penting untuk mendapatkan bekalan untuk operasi Ukraine di wilayah Kursk.
Operasi ketenteraan Rusia untuk merebut semula wilayah Kursk telah memasuki peringkat terakhirnya, kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov pada Khamis.
Pada Rabu, Presiden Rusia Vladimir Putin melawat pos perintah tentera di Kursk, menekankan keperluan segera menamatkan operasi dan mewujudkan zon keselamatan di rantau itu.
Menurut Ketua Staf Am Rusia Valery Gerasimov, tentera Rusia telah menuntut semula lebih 1,100 km persegi kawasan di wilayah Kursk, mewakili lebih daripada 86 peratus kawasan yang sebelum ini dikuasai oleh Ukraine.
XINHUA