BEIRUT – Menteri Kesihatan Lubnan Firas Abiad mengumumkan pada Rabu, sejumlah 4,047 orang terbunuh dan 16,593 yang lain cedera dalam serangan Israel ke atas Lubnan sejak Oktober tahun lalu.
Pada sidang akhbar di Beirut, Abiad berkata 316 kanak-kanak terbunuh dan 1,456 yang lain cedera, manakala 790 wanita terbunuh dan 3,357 yang lain cedera dalam serangan Israel di seluruh Lubnan.
Abiad juga mendedahkan 67 hospital menjadi sasaran serangan Israel, 40 daripadanya terkena terus dan tujuh lagi ditutup secara paksa.
Perjanjian gencatan senjata antara Lubnan dan Israel berkuat kuasa pada 27 November, berikutan konflik maut antara kumpulan bersenjata Lubnan Hizbullah dan Israel yang bermula pada 8 Oktober 2023. Konfrontasi itu telah dianggap sebagai yang paling berdarah sejak perang terakhir antara Lubnan dan Israel pada 2006.
Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menghentikan permusuhan selama 60 hari, dengan Israel secara beransur-ansur mengundurkan tenteranya dari selatan Lubnan dan Hizbullah berundur utara Sungai Litani.
Walaupun gencatan senjata, ketegangan kekal tinggi apabila kedua-dua pihak bertukar tuduhan pelanggaran gencatan senjata, menimbulkan kebimbangan mengenai ketahanan perjanjian itu.
Sumber dari perisikan tentera Lubnan, yang tidak mahu namanya disiarkan, memberitahu Xinhua pada Rabu, tentera Lubnan telah ditempatkan semula ke empat tapak tentera di barat bandar sempadan selatan Shebaa, yang ditinggalkan kira-kira tiga bulan lalu.
Sumber itu menambah bahawa dengan penempatan semula ini, tentera Lubnan kini berada kira-kira 700 meter dari tapak Israel di Ladang Shebaa yang diduduki.
XINHUA