KUALA LUMPUR — Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini menunjukkan beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalan lama miliknya, isteri, dan empat anaknya, serta surat beranak asal bagi membuktikan nama sebenarnya.
Bekas Perdana Menteri itu berbuat demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas memberi keterangan dalam kes saman fitnah terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Dalam sidang media itu, Dr Mahathir menunjukkan salinan kad pengenalannya, kad pengenalan empat anaknya, surat beranak asal, serta dokumen pendaftaran kelahirannya.
Beliau berkata, semua salinan kad pengenalan berkenaan diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Ini adalah kad pengenalan yang sebenar, bukan seperti yang Ahmad Zahid tunjukkan di telefon bimbitnya. Kad pengenalan (dahulu) nama pemilik berada di belakang.
“Dalam telefon bimbit, macam-macam gambar boleh dimuat naik, dan ia tidak boleh diterima secara rasmi untuk memperakui kebenarannya,” katanya.
Terdahulu, ketika prosiding di mahkamah, Dr Mahathir ketika menjawab soalan peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata kesibukannya menguruskan negara sewaktu menjadi Perdana Menteri adalah antara sebab tindakan saman itu tidak dimulakan lebih awal.
“Selepas menjadi Perdana Menteri, saya sibuk dengan urusan negara, bukan urusan peribadi. Urusan peribadi boleh ditangguhkan, tetapi urusan negara perlu diutamakan.
“Apabila Ahmad Zahid mengemukakan saman, saya berpendapat ia satu tindakan yang tidak boleh dibiarkan. Oleh itu, saya juga memutuskan untuk menyaman Ahmad Zahid. Saya juga faham, tiada had masa untuk memfailkan saman ini selepas ucapan itu dibuat,” katanya.
Disoal mengapa tindakan saman hanya diambil terhadap Ahmad Zahid dan bukan individu lain yang turut membuat kenyataan sama, Dr Mahathir menjelaskan, ucapan Ahmad Zahid memberi kesan lebih mendalam kerana beliau ketika itu memegang jawatan tinggi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
“Orang lain tiada jawatan tinggi seperti Ahmad Zahid. Ketika beliau membuat ucapan itu, beliau adalah Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, yang menimbulkan banyak reaksi.
“Ucapan atau tulisan individu lain tidak memberi kesan kepada saya jika mereka bukan orang penting. Kalau orang itu sekadar menjual kacang putih, saya tidak akan mengambil berat,” katanya.
Pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir, 99, memfailkan saman itu dengan menamakan Ahmad Zahid, 71, sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah, dan berniat jahat yang secara langsung merujuk kepada dirinya. Kenyataan itu dibuat ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.
Dr Mahathir percaya bahawa individu dirujuk dalam kenyataan fitnah tersebut sebagai ‘orang itu’, ‘dia’, dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepada dirinya.
Beliau mendakwa, kenyataan Ahmad Zahid yang berniat jahat itu menyebabkan beliau terdedah kepada kebencian masyarakat, selain menjejaskan kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang dihormati di peringkat antarabangsa.
Dr Mahathir berkata, kenyataan itu turut memberi maksud tersirat bahawa kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu dipersoalkan.
Katanya, kenyataan itu menggambarkan dirinya sebagai seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, mementingkan diri, tidak beretika dalam memegang jawatan awam, dan tidak layak menjadi pemimpin.
Prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong, bersambung Isnin ini.
BH ONLINE