BATU PAHAT – Seorang penggali kubur lari ketakuan selepas menemui mayat lelaki warga emas rentung dalam pacuan empat roda terbakar di sebuah tanah perkuburan Jalan Yong Peng-Ayer Hitam, semalam.
Penemuan mayat lelaki berusia 64 tahun pada jam 1 tengahari ketika lelaki berusia 30-an ke tanah perkuburan terbabit sebelum menghubungi polis.
Difahamkan, sebelum penemuan itu penggali kubur ternampak sebuah pacuan empat roda yang disyaki terbakar lebih dua hari lalu.
Sumber berkata, sebaik memeriksa di dalamnya, dia ternampak rangka manusia dalam keadaan rentung di tempat duduk pemandu.
“Penggali kubur kemudiannya menghubungi polis dan maklumat awal diperolehi mendapat lelaki itu beralamat di Kluang,” katanya.
Kejadian itu berlaku di lokasi terlindung dari pandangan orang ramai hingga menyukarkan penemuan mayat itu lebih awal.
Pasukan forensik yang dimaklumkan mengenai penemuan mayat rentung, tiba di lokasi pada jam 5.15 petang untuk menjalankan siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat rentung itu.
Katanya, polis masih menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) hari ini.
BH ONLINE