Warga Singapura maut motosikal berkuasa tinggi terbabas di Lebuh Raya Utara Selatan

KULAI — Seorang pembonceng motosikal berkuasa tinggi warga Singapura maut manakala penunggangnya cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 49.5, Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, wanita berusia 21 tahun disahkan meninggal di lokasi kemalangan akibat parah.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Kawasaki Ninja ZX-10 ditunggang lelaki warga Singapura berusia 23 tahun.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal dari arah utara ke selatan itu hilang kawalan dan terbabas melanggar besi pembahagi jalan.

“Akibat kemalangan itu, pembonceng motosikal parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini, untuk bedah siasat.

“Penunggang motosikal cedera di bahagian kaki dan menerima rawatan di hospital sama,” katanya menerusi satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Seng Lee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

BH ONLINE