KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menegaskan proses undang-undang yang adil mesti dijalankan susulan penahanan seorang wartawan dari sebuah portal berita dalam talian oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata pihaknya serius penahanan termasuk kenyataan SPRM bahawa ia bukan disebabkan artikel diterbitkan portal terbabit, sebaliknya selepas wartawan berkenaan didakwa menerima rasuah RM20,000 daripada ejen yang berurusan dengan pekerja migran.
Beliau berkata, MCW menegaskan bahawa integriti dan etika kewartawanan adalah asas kepada kebebasan media.
“Sekiranya dakwaan terhadapnya adalah benar, tindakan itu bukan sahaja mencemarkan nama baik profesion kewartawanan tetapi juga mengkhianati kepercayaan masyarakat terhadap media sebagai pemantau kepada ketelusan dan keadilan.
“Namun begitu, MCW juga menekankan bahawa proses undang-undang yang adil mesti dijalankan. Setiap individu berhak untuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan wartawan itu lewat malam tadi, dengan wang rasuah yang ditemui ketika serbuan didakwa sebagai bayaran supaya dua artikel mengenai ejen terbabit tidak diterbitkan.
Jais berkata, MCW menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan telus dan menyeluruh, memastikan semua bukti dikumpulkan dengan tepat dan tanpa prejudis.
Dalam masa sama, katanya MCW menyeru semua pengamal media untuk sentiasa mematuhi kod etika kewartawanan dan menghindari sebarang bentuk rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
“Kebebasan media datang dengan tanggungjawab besar dan adalah penting bagi wartawan untuk menjaga integriti mereka dalam menjalankan tugas.
“MCW akan terus memantau perkembangan kes ini dan berharap kebenaran dapat ditegakkan demi kepentingan awam dan integriti profesion kewartawanan di Malaysia,” katanya.
Terdahulu media SPRM menahan wartawan sebuah portal berita tempatan bagi membantu siasatan kes rasuah, dengan SPRM mengesahkan penahanan dibuat di hotel di Shah Alam kira-kira 11 malam.
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) melalui reaksi susulan perkembangan itu menuntut SPRM menjalankan siasatan dengan penuh keadilan dan tidak bertujuan menekan atau menyekat sebarang kebebasan media di negara ini.
BH ONLINE