SANAA – Kumpulan Houthi Yaman berkata awal Ahad bahawa ia melancarkan serangan baru ke atas kapal pengangkut pesawat USS Harry S Truman dan kapal bekalannya di utara Laut Merah sejak 24 jam lalu.
Dalam satu kenyataan disiarkan TV al-Masirah kendalian Houthi, jurucakap tentera Houthi Yahya Sarea berkata kapal pengangkut pesawat itu disasarkan dengan “peluru berpandu jelajah dan dron” manakala kapal bekalan itu dilanda dengan “peluru berpandu balistik”.
Tentera Laut AS masih belum mengulas mengenai dakwaan itu.
Ketegangan antara Houthi dan tentera AS meningkat sejak Washington meneruskan serangan udara pada 15 Mac.
Kumpulan Houthi, yang menguasai sebahagian besar utara Yaman, telah mendakwa beberapa kali serangan ke atas kapal perang AS dan sasaran di Israel kebelakangan ini.
Houthi berkata serangan mereka bertujuan untuk menekan Israel disokong AS supaya menghentikan serangannya di Semenanjung Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke kawasan Palestin.
Sejak dua minggu lalu, tentera AS melakukan gelombang serangan ke atas sasaran Houthi di beberapa wilayah Yaman.
XINHUA