‘Tidak ada kes kematian dalam insiden letupan paip gas di Putra Heights’

SUBANG JAYA – Polis menafikan berlaku kes kematian dalam insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, di sini, seperti didakwa di media sosial.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kematian mangsa di tempat kejadian.

“Tak betul, tiada laporan (kes kematian) diterima,” katanya ringkas kepada pemberita media ini.

Sebelum ini, tular dakwaan di media sosial seorang mangsa meninggal dunia semalam kerana melecur akibat insiden berkenaan.

Pengguna TikTok dikenali sebagai Dhia mendakwa adik rakannya disahkan meninggal dunia dalam insiden berkenaan.

“Adik kawan saya meninggal semalam akibat lecur daripada insiden Putra Heights, semoga adik terus kuat ye, moga Allah mudahkan dan lancarkan urusan kita semua,” tulisnya di ruangan komen media sosial berkenaan.

Sebelum ini polis memaklumkan seramai 111 mangsa masih mendapatkan rawatan di beberapa hospital termasuk Hospital Serdang, Hospital Cyberjaya dan Hospital Putrajaya.

Bagi tahap kecederaan dialami mangsa, seramai 13 orang berada di zon merah, 55 pesakit di zon kuning dan 43 orang di zon hijau.

Seramai 75 daripada 111 mangsa ini mendapat rawatan dan berada di hospital Serdang, Cyberjaya dan Putrajaya, manakala 36 mangsa lagi berada di lain-lain hospital termasuk Hospital Sungai Buloh.

BH ONLINE